fbpx

Piala FA: Hatrik Assifuah bantu KDA FC benam Bukit Tambun FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sony Norde cuba menahan asakan pemain Bukit Tambun FC dalam perlawanan Piala FA 2024 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Seperti dijangka, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan pertama Piala FA musim ini apabila mudah menjinakkan Kelab Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC (BTFC) 5-0 di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

Meskipun tiada percubaan tepat dapat dihasilkan sejak perlawanan dimulakan, penyerang KDA FC dari Serbia, Milos Gordic akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-14 apabila dia melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol pertama Sang Kenari.

Jaringan kedua hadir enam minit selepas itu melalui rembatan leret dilakukan Amirul Hisyam Awang Kechik manakala gol ketiga tuan rumah menerusi tandukan penyerang import dari Ghana, Ebenezer Assifuah,.

Bersambung babak kedua, skrip sama terus dihidangkan kepada penonton dengan KDA FC lebih banyak menguasai bola berbanding pihak lawan.

Jaringan keempat yang dicari akhirnya hadir menerusi Assifuah. Dia yang melarikan bola dari tengah padang secara solo, melepaskan rembatan yang terbias kepada pemain lawan, Youwarasan Maniom sebelum bola melambung dan menerjah ke jaring untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Gol kelima tuan rumah diperoleh seminit kemudian melalui hatrik dilakukan Assifuah yang mudah menolak masuk bola hantaran Shukrob ketika dia langsung tidak dikawal dalam kotak penalti lawan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI