BIARPUN kini diuruskan oleh barisan kejurulatihan berbeza dengan rata-rata pemain berwajah baharu, tetapi skuad hoki senior lelaki negara tampak seakan-akan masih tidak dapat membuang penyakit lama yang sering menghantui Speedy Tigers selama ini.
Penyakit lama yang dimaksudkan adalah kegagalan benteng pertahanan memastikan gawang tidak dibolosi pada lewat permainan. Situasi itu sudah lama terjadi, malah pernah menyaksikan skuad negara kempunan membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 disebabkan bolos empat gol dalam tempoh 10 minit terakhir, sekali gus tewas penentuan penalti shoot-out sewaktu final Sukan Asia 2018.
Ketika itu, skuad negara kendalian Stephen Van Huizen mendahului Jepun 5-2, tetapi membenarkan Samurai Biru menamatkan aksi 60 minit dengan keputusan 6-6 sebelum mereka memenangi penentuan shoot-out 3-1 untuk membawa pulang pingat emas mengecewakan Malaysia ke Olimpik Tokyo.
Selepas enam tahun, perkara sama berulang apabila Malaysia menunjukkan situasi sama dalam dua kejohanan antarabangsa tahun ini bermula Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada Mei lalu dan Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland baru-baru ini.
Masalah ketara itu menyaksikan Speedy Tigers sekadar menamatkan kempen di Poland di kedudukan ketujuh daripada sembilan negara mengambil bahagian selepas menang 5-4 ke atas Austria.
Mujur ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh yang dilantik menggantikan tugas A. Arul Selvaraj awal tahun ini, menyedari awal masalah berkenaan dan pastinya akan memastikan perkara itu tidak berulang dalam tugasan antarabangsa seterusnya nanti.
“Untuk menjaringkan lima gol memang kami berpuas hati. Tetapi agak mengecewakan apabila kami melepaskan tiga gol setelah mendahului 5-1. Penyakit ini perlu dihentikan dan diperbaiki segera,” katanya.
Sarjit dan barisan kejurulatihan diketuai dua pembantunya, Sukri Abdul Mutalib dan Azrul Effendy Bistaman serta jurulatih penjaga gol, S. Kumar perlu segera menyelesaikan masalah itu bagi merealisasikan impian Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Dua kejohanan itu harus menjadi teladan berguna buat Speedy Tigers yang dilihat masih mempunyai banyak masa memandangkan pembentukan skuad negara kali ini adalah memenangi pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Jika masalah di barisan belakang dapat diperbaiki, tidak mustahil mereka mampu menyambar tiket ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat, sekali gus menamatkan kemarau 28 tahun sejak kali terakhir di Sydney, Australia pada 2000. Dalam masa sama, barisan kejurulatihan perlu bekerja keras mencari penyerang baharu untuk menggantikan mesin gol skuad negara, Faizal Saari yang kini sudah berusia 33 tahun.
Biarpun sudah dianggap veteran, tetapi Faizal masih lagi membuktikan ketajamannya di hadapan gawang lawan dengan meledak tujuh gol untuk berkongsi penjaring terbanyak Piala Negara-Negara FIH bersama penggempur Perancis, Victor Chalet.