PETALING JAYA – Kemunculan pertama penyerang kebangsaan, Faisal Halim semalam selepas insiden disimbah asid, bukan sahaja menarik perhatian rakyat Malaysia malah peminat bola sepak di Indonesia juga.
Perkara itu boleh dilihat menerusi beberapa artikel portal Indonesia dan ciapan akaun peminat bola sepak seperti Extra Time Indonesia (ETI) yang mengulas tentang gambar-gambar Faisal semasa sidang akhbar semalam.
Dalam hantaran ringkasnya yang mendapat lebih 2,300 ulang ciap dan lebih 15,000 tanda suka, ETI menitipkan doa agar Faisal Halim atau lebih mesra disapa Mickey diberikan kesembuhan dengan segera.
“Lekas pulih dan selalu kuat Faisal Halim,” tulisnya sambil menyertakan ’emoji’ bendera Malaysia dan Indonesia.
Bukan itu sahaja, lebih menyentuh hati, ramai warga Indonesia di ruangan komen yang melahirkan rasa simpati serta luluh hati melihat parut Faisal yang ditunjukkan semalam.
Kebanyakan peminat bola sepak di Indonesia juga menitipkan doa buat Faisal agar diberikan kesembuhan dan seterusnya mendapat keadilan sewajarnya.
“Dari jadi atlet yang segar-bugar terus tiba-tiba jadi begini. Benar-benar gak bisa bayangin perasaannya (benar-benar tak boleh bayangkan perasannya). Jangan sampai pelakunya nanti cuma di penjara beberapa tahun, sudah bebas,” ciap Vadra.
“Ini nyiksa bangat kek gini (menyeksa sangat begini), deritanya lebih sakit daripda dibunuh lansung. Kuat ya bang Faisal Halim, semoga pelaku dapat balasan setimpal dari Yang Maha Kuasa,” ciap Ppay.
“Kalau pun lukanya pulih, tapi tidak dengan mentalnya. Padahal Faisal Halim pemain berpengalaman terbaik yang Malaysia punya sekarang. Kualitasnya (kualitinya) sedikit di atas para pemain naturalisasi mereka,” komen seorang rakyat Indonesia yang lain pula.
Dalam pada itu, terdapat juga komen rakyat Malaysia yang mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak di Indonesia kerana memberikan perhatian terhadap isu ini.
“Terima kasih rakan-rakan Indonesia yang mendoakan bro Faisal,” komen Najib Bakar.
“Terima kasih ‘admin’. Semoga Indonesia terus maju ke peringkat tinggi Piala Dunia juga,” komen Bianglala juga.
Semalam, Faisal Halim membuat penampilan pertama menerusi satu sidang akhbar selepas lebih sebulan beliau menjalani pemulihan akibat melecur tahap empat gara-gara disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah di sini, 5 Mei lalu.
Penampilannya itu meruntun hati rakyat Malaysia kerana keadaan luka di tangan dan parut di muka Faisal jelas menunjukkan kesengsaraan yang ditanggung pemain berusia 26 tahun selepas insiden malang itu.
Keadaan Faisal juga dilihat masih belum pulih sepenuhnya kerana pergerakan khususnya di tangan kirinya agak terbatas selain mukanya juga kelihatan masih penat.
Setakat ini, suspek utama yang terlibat dalam jenayah tersebut masih belum ditangkap dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) difahamkan masih giat menjalankan siasatan. – KOSMO! ONLINE