fbpx

Pakej umrah bermula RM5,990, Juara Travel sasar pelanggan segmen B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosnah bersama Pengurus Pemasaran Juara Travel, Mohamad Faiz Abd. Halim (kiri) pada sidang akhbar di pejabatnya di Ampang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Melawan arus peningkatan kos dan harga barang, Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. (Juara Travel) memperkenalkan Pakej Umrah Eko-Mampu yang menawarkan pakej perjalanan umrah pada harga mampu milik bermula RM5,990 seorang.

Pakej tersebut dianggap istimewa kerana ia mementingkan kebajikan dan kemudahan jemaah sewaktu menunaikan umrah dengan bimbingan mutawif berpengalaman, meskipun pada harga seakan menjalani umrah secara DIY (buat sendiri).

Pengarah Urusannya, Rosnah Wagino berkata, pihaknya terpanggil untuk menyediakan pakej umrah mampu milik setelah melihat trend masa kini, apabila semakin ramai jemaah yang menjalani ibadah umrah secara DIY atas sebab utama untuk berjimat.

“Saya banyak mendengar cerita orang melaksanakan umrah secara DIY dengan fokus kepada kos yang rendah. Namun bagi mereka yang kurang berpengalaman, kadang-kala melaksanakan umrah secara DIY boleh menjadi lebih mahal berbanding pakej yang kami tawarkan.

“Ada juga kes di mana jemaah ditipu dan tidak mendapat hotel seperti yang dijanjikan.

“Tambahan pula, umrah ini tidak sama seperti melancong kerana ia atas tujuan ibadah, ramai jemaah yang sebenarnya memerlukan ilmu dan bimbi­ngan daripada mutawif, mereka tidak mampu melaksanakannya secara sendiri.

“Sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman menguruskan jemaah umrah selama 25 tahun, kami berasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan umrah yang mampu milik, sesuai untuk golongan yang berdepan kekangan kewangan namun teringin menjejak kaki ke tanah suci,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabatnya di Ampang baru-baru ini.

Menurut Rosnah, Pakej Umrah Eko-Mampu selama 10 hari lapan malam menyediakan penerba­ngan terus menggunakan Saudi Airlines dari Kuala Lumpur ke Jeddah, sebelum ke Mekah dan Madinah dan pulang semula ke negara ini melalui lapangan terbang di Madinah.

Penginapan disediakan di hotel bertaraf tiga bintang seramai empat orang sebilik, manakala jarak hotel ke dataran Masjidil Haram adalah sejauh kira-kira satu kilometer dan jarak hotel di Madinah dengan Masjid Nabi adalah sekitar 200 meter.

Sebagai permulaan, 300 tempat disediakan untuk penerba­ngan bertarikh 27, 28 dan 29 Di­sember 2024.
Sebelum berlepas, jemaah boleh mengikuti kursus umrah yang dibuat setiap minggu di cawangan Juara Travel seluruh negara yang disediakan secara percuma untuk semua.

Jelas Rosnah, pada harga tersebut, pakej itu tidak terma­suk makanan dan beliau menganggarkan kos makanan bagi setiap jemaah boleh mencecah RM500 hingga RM600.

“Sekiranya mendapat permintaan yang baik, kami akan membuka pakej ini pada tarikh-tarikh yang lain, berkemungkinan pada Januari tahun depan.

“Sekiranya jemaah membuat pembatalan dalam tempoh 45 hari sebelum terbang, kami akan memulangkan wang mereka sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam zaman digital serba moden dan penipuan melibatkan pakej ibadah haji dan umrah semakin berleluasa, Rosnah turut memberi pesanan agar jemaah sentiasa berhati-hati dalam memilih pakej umrah dan tidak melihat pada soal harga semata-mata.

Ujarnya, perkara pertama yang perlu dilakukan setelah memilih penyedia perkhidmatan bersesuaian adalah merujuk nama syarikat terbabit kepada Kementerian Pelancongan untuk mengenal pasti sama ada ia berlesen atau tidak.

Jemaah juga disarankan untuk melihat reviu pengguna-pengguna lain di mana-mana platform termasuk media sosial untuk mengetahui sama ada ia pernah memiliki rekod yang kurang baik.

Bagi Juara Travel sendiri, Rosnah memberi jaminan mampu menerbangkan setiap jemaah yang mengambil pakej bersama syarikat, bersandarkan pengalaman selama 25 tahun menerbangkan hampir 90,000 jemaah setakat ini.

Ia turut menerima pengiktirafan daripada Lembaga Tabung Haji sebagai syarikat pengelola jemaah haji swasta sejak lima tahun yang lalu.

“Kami tidak hanya memfokuskan kepada haji dan umrah, sebaliknya syarikat turut menawarkan pakej pelancongan lain dan aktif menjalankan urusan dengan kerajaan serta bekerjasama dengan syarikat-syarikat pelancongan.

“Buat masa ini kami memiliki 27 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, kecuali Perlis. Kami memiliki perancangan untuk menambah jumlah cawangan untuk memiliki kehadiran di setiap negeri.

“Syarikat juga telah menerbangkan 13,000 jemaah umrah bagi musim yang lalu dan untuk musim umrah yang akan datang, kami menyasarkan jumlah tersebut bakal bertambah kepada 20,000 jemaah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI