fbpx

Nasihat Pan-gon suntik semangat Faisal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal Halim pernah terlintas untuk 'gantung but' kerana risau keselematan keluarga selepas jadi mangsa simbahan asid bulan lalu. - Foto oleh Kosmo!/Amir Khalid

SHAH ALAM – Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim mengakui salah satu punca semangatnya kembali membara untuk meneruskan karier profesional adalah selepas menerima nasihat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Menurut Faisal, pertemuan ’empat mata’ yang telah dilakukan ketika Pan-gon melawat di hospital swasta bulan lalu cukup bererti kerana pengendali import dari Korea Selatan itu tidak mahu melihat dirinya berhenti daripada bermain bola.

“Pan-gon ada datang melawat saya dan dia berharap agar saya tidak berhenti bermain bola sepak. Dia meletakkan harapan yang dia tidak akan kehilangan Faisal Halim.

“Dia mahu saya kembali (ke atas padang). Dia tak nak saya jatuh dan dia tak nak saya berhenti main bola,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Sebagai rekod, Faisal telah membuat kemunculan pertama di khalayak umum dalam satu sidang media khas di Shah Alam semalam selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lepas.

Sementara itu, Faisal mengakui meletakkan harapan yang tinggi untuk kembali dalam masa terdekat meskipun apa yang dimaklumkan oleh pegawai perubatan masih lagi jauh daripada realiti sebenar.

“Harapan saya kalau boleh mahu kembali bermain dalam tempoh sebulan lagi. Namun, pegawai perubatan maklumkan tempoh paling awal adalah tiga bulan ke enam bulan.

“Sepanjang karier saya tidak pernah rehat lebih sebulan terutama dua tahun kebelakangan ini yang mana saya memang tak cukup rehat kerana tugasan bersama kelab dan skuad kebangsaan.

“Saya tidak pernah mengambil cuti sakit walaupun ada ketika saya demam dan pening kepala kerana fokus dengan tugasan di atas padang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN