Buat mereka yang membesar dengan kartun animasi popular, Keluang Man pastinya mengenali watak adi wira bernama Borhan.
Tentu sahaja ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan karya yang popular sekitar 1990-an itu diangkat di layar perak.
Mengakui berat untuk menggalas tanggungjawab, teraju utama Nas-T bagaimanapun enggan mensia-siakan peluang yang ada.
Setelah diberi kepercayaan untuk membawakan watak sebagai Keluang Man, Nas-T atau nama lengkapnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, mengakui penglibatan dalam naskhah tersebut merupakan satu ‘rahsia besar’.
Katanya, sepanjang bergelar pelakon, Keluang Man adalah projek terbesar yang dijayakannya.
Berikut perkongsian Nas-T mengenai penglibatannya dalam filem arahan Anwari Ashraf Hashim yang mengangkat karya kartunis Allahyarham Kamn Ismail.
HIBGLAM: Boleh kongsikan pengalaman terlibat dalam filem Keluang Man setakat ini?
NAS-T: Pengalaman sangat luar biasa. Ini pertama kali membawakan watak sebagai adi wira. Memang agak gementar, tetapi saya jadikan itu sebagai cabaran untuk memberikan mutu lakonan yang terbaik buat penonton.
Pastinya watak ini sudah mempunyai pengikutnya tersendiri. Malah, saya juga membesar menonton cerita Keluang Man. Saya masih ingat lagi momen menonton cerita ini di zaman kanak-kanak.
Apa cabaran sepanjang berlakon dalam filem ini?
Apa yang boleh saya katakan, filem ini merupakan satu projek besar yang memerlukan banyak perhatian daripada pelbagai sudut. Saya kena belajar seni mempertahankan diri seperti judo, jiu jitsu, kickboxing dan silat.
Pada masa sama saya perlu belajar skil lain seperti menari. Saya juga mengalami kecederaan pada bahagian jari tangan dan belakang badan.
Ketika sesi latihan lagi saya sudah mengalami kecederaan. Tetapi, alhamdulillah saya sudah mengurut dan tukang urut itu juga berada di set penggambaran untuk membantu jika terasa sakit.
Adakah kecederaan itu mengganggu kualiti lakonan anda?
Memang mengganggu kerana setiap babak aksi itu saya tidak mampu memberikan 100 peratus. Hanya dalam 80 peratus sahaja kerana selebihnya menahan sakit.
Tetapi pada saya itu adalah cabaran untuk berlakon dalam filem aksi. Terdapat beberapa aksi yang saya lakukan sendiri seperti babak bergaduh dengan sedikit adegan aksi. Bagaimanapun babak tersebut tidak terlalu lasak kerana setiap aksi seperti melompat, terjun bangunan atau parkour masing-masing mempunyai pelakon aksi lagak ngeri tersendiri.
Bagaimana pengalaman memakai kostum watak Keluang Man?
Mengenai kostum saya memang tidak boleh cakap apa-apa kerana itu rahsia. Pihak penerbit yang akan memaklumkan perkara itu nanti sebaik sahaja selesai penggambaran. Secara ringkasnya ini merupakan satu projek ‘rahsia besar’.
Apa yang boleh saya kata, kostum itu selesa dan sesuai dengan badan saya serta mudah untuk melakonkan babak aksi. Boleh dikatakan kostum itu menelan belanja kos yang tinggi dan dibuat oleh pereka tempatan bernama Dino.
Memandangkan beberapa perkara melibatkan pembikinan filem ini adalah rahsia, adakah itu membebankan anda?
Ya filem ini boleh dikatakan agak rahsia. Jadi saya hanya memberitahu kepada isteri (Atita Haris) kerana bimbang dia akan bertanya tentang keadaan saya sekiranya cedera. Ada juga beberapa kawan-kawan yang bertanyakan tentang pembikinan filem ini, tetapi saya tidak boleh kongsikannya.
Sesetengah mereka memahami, tetapi ada juga yang sulit untuk dijelaskan. Tetapi, tidak mengapa kerana saya anggap ini sebagai cabaran dan kejutan. Biar penonton sendiri yang menentukan bagaimana filem ini nanti.
