PETALING JAYA – Malaysia Building Society Berhad kini secara rasminya dikenali sebagai MBSB Berhad, berkuat kuasa 12 Jun 2024, berikutan resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 6 Jun lalu.
Selama 70 tahun, Malaysia Building Society Berhad telah menjadi penyumbang penting kepada industri perkhidmatan kewangan dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Evolusinya daripada komuniti pembinaan menjadi syarikat pegangan kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) bermula pada 2018, dengan pengambilalihan Asian Finance Bank, yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai MBSB Bank Berhad (MBSB Bank).
Perjalanan syarikat diteruskan dengan pengambilalihan Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) pada Oktober 2023 yang mengembangkan lagi jangkauan pasaran, untuk beroperasi sebagai syarikat pegangan kewangan yang diperbesarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) meliputi pengguna, komersial, borong dan pembiayaan pembangunan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan nama baharu, iaitu MBSB Berhad yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat.
“Nama baharu ini mencerminkan komitmen kami kepada inovasi, pertumbuhan dan dedikasi untuk menyediakan produk kewangan serta perkhidmatan luar biasa buat pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE