fbpx

Main cikgu-cikgu pupuk minat Fathiyah jadi guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fathiyah (tengah) dan Abdul Rashid (tiga,kanan) menerima hadiah khas sumbangan YGMB sempena Program Apresiasi Pendidikan 2024 di UiTM Permatang Pauh, hari ini.

SEBERANG PERAI – Aktiviti kegemaran iaitu ‘main cikgu-cikgu’ sejak kecil bertukar menjadi realiti apabila Fathiyah Abu Bakar berjaya bergelar pendidik selama 32 tahun.

Bukan itu sahaja, bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi berusia 65 tahun itu turut dinobatkan Tokoh Guru Negeri Pulau Pinang 2024 sempena Program Apresiasi Pendidikan 2024.

Katanya, beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan yang disifatkan salah satu pencapaian terbesar sepanjang berkecimpung dalam bidang pendidikan.

“Sejak kecil, saya suka main cikgu-cikgu dan sayalah cikgunya manakala tujuh beradik lagi disuruh menjadi anak murid.

“Selain minat yang mendalam, arwah ibu, Fatimah Abdul Hamid juga menjadi inspirasi kerana beliau juga merupakan seorang guru di sekolah orang dewasa.

“Andai arwah ibu masih ada, sudah tentu beliau akan gembira kerana saya dan seorang lagi adik berjaya mengikut jejak langkahnya sebagai pendidik,” katanya yang sudah bersara pada 2017.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di UiTM Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Selain beliau, bekas Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Abdul Rashid Abdul Samad turut dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri.

Masing-masing menerima wang imbuhan RM2,500, plak penghargaan, pakej percutian dan hadiah istimewa iaitu dua buah televisyen 65 inci sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya komited untuk terus memelihara kebajikan sekali gus memartabatkan profesion perguruan negara.

“Setiap tahun, kita berusaha mencari kaedah bagaimana untuk memberi penghargaan kepada warga pendidik atas kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam menjalankan tugas.

“Tahun ini juga, penghargaan itu diterjemahkan dalam bentuk berbeza di mana kita telah bekerjasama dengan syarikat produksi Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. (KAHSB) untuk menerbitkan filem Memoir Seorang Guru yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI