PETALING JAYA – Seorang bapa yang tular selepas berjalan dari rumahnya di Beranang ke Taman Jasmin, Kajang bagi mendapatkan bantuan makanan menolak untuk didaftarkan sebagai fakir miskin berikutan memilih untuk bekerja terlebih dahulu.
LZS dalam satu kenyataan berkata, siasatan mendapati lelaki yang bekerja sebagai tukang masak itu tinggal bersama enam tanggungan termasuk bayi berusia sembilan bulan di rumah pusaka ibu mentuanya.
“Beliau bekerja di Sungai Tangkas, Kajang dengan pendapatan RM800 hingga RM1,800 sebulan bergantung kepada jumlah majlis diterima.
“Motosikalnya rosak selaam dua minggu jadi dia tidak dapat bekerja dan terputus sumber pendapatan buat seketika. Kini motosikal telah dibaiki dengan kos sumbangan orang luar dan abang ipar,” kata kenyataan tersebut.
Menurut LZS, tindakan lelaki tersebut berjalan kaki selama tiga jam bukan untuk meminta-minta, sebaliknya tertarik melihat iklan di Facebook yang menawarkan nasi kukus percuma.
“Kami menghulurkan wang kecemasan bagi meringankan bebanan beliau.
“Sebelum ini kami pernah menyalurkan bantuan kecemasan (gharimin) kepada beliau bagi pembelian susu dan lampin pakai buang anak.
“Insya-Allah, LZS akan sentiasa membantu bagi mereka yang memerlukan. Semoga urusan keluarga ini dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki yang luas,” kata LZS.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang bapa sanggup berjalan dari rumahnya di Beranang ke Taman Jasmin, Kajang semata-mata mahu mendapatkan bantuan makanan untuk isteri dan anak-anak.
Kisah itu dikongsikan oleh Facebook Nasi Kukus Kak Chiq selepas peniaga makanan tersebut menerima mesej pada aplikasi WhatsApps daripada lelaki itu sama ada mereka mempunyai lebihan lauk untuk disedekahkan kepada tiga anaknya. – KOSMO! ONLINE