LUMUT – Seorang lelaki maut apabila van yang dinaikinya merempuh belakang treler di Kilometer 2115.1 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) hala selatan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pasukan itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.54 malam.
“Berikutan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi kejadian yang berjarak kira-kira 10 kilometer, 13 minit kemudian,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, penumpang van itu tersepit di tempat duduknya manakala pemandu hanya cedera ringan dan berjaya keluar dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.55 malam. – KOSMO! ONLINE