PETALING JAYA – Pulau Langkawi dan Pulau Pinang berjaya menduduki senarai 10 Pulau Terbaik di Asia 2024 dengan masing-masing berada di tangga ke-7 dan ke-8 dalam carta tersebut.
Data tersebut didapati daripada tinjauan yang dilakukan majalah DestinAsian dalam ’17th Annual Readers’ Choice Awards 2024′ bagi mengetahui pulau yang menjadi destinasi terbaik di Asia.
Tinjauan tersebut dijalankan antara Ogos dan November 2023, dengan pemenang dipilih berdasarkan 36 kategori iaitu merangkumi hotel dan pusat peranginan, kediaman perkhidmatan, syarikat penerbangan, lapangan terbang, laluan pelayaran dan destinasi.
Langkawi jatuh dua anak tangga berbanding senarai Pulau Asia Terbaik 2023 manakala Pulau Pinang tidak tersenarai dalam carta pada tahun lalu.
Di dalam tinjauan tersebut, Bali, Indonesia kekal mempertahankan tempat pertama diikuti Maldives, Phuket dan Koh Samui, Thailand.
“Boracay, Filipina menduduki tangga kelima diikuti dengan Phu Quoc, Vietnam, Langkawi dan Pulau Pinang, Malaysia, Palawan, Filipina dan Lombok, Indonesia,” katanya.
Untuk rekod, Langkawi turut dianugerahkan Pulau Kesembilan Terbaik di Dunia 2023 yang diberikan oleh majalah pelancongan antarabangsa, Travel + Leisure.
Pembaca majalah tersebut dianggarkan berjumlah 4.8 juta di seluruh dunia. – KOSMO! ONLINE.