PETALING JAYA – Kes pembunuhan tragis kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin dan tragedi simbah asid terhadap penyerang Selangor FC, Faisal Halim, terus menjadi sorotan di media sosial.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata orang ramai masih kecoh memperkatakan isu berkenaan selain terus menggesa keadilan segera bagi kedua-duanya.
Rata-rata mereka menzahirkan rasa simpati dan berharap pelaku-pelaku terlibat mendapat balasan setimpal.
“Semoga si pelaku hidup tidak akan tenang sehingga kau menghadap si mangsa dan memohon ampun,” komen @eddie_kerisofficial.
“Semoga yang menganiaya kamu mendapat balasan setimpal. Tuhan itu maha mengetahui dan adil,” ujar @nansuhaida_md.
“Allah tahu siapa pelakunya. Semoga hidupnya tak tenang sepanjang hayat,” kata @noorazyyatimhmd.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Sementara Faisal pula menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lepas sehingga disahkan melecur tahap empat.
Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi kian pulih selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam. – KOSMO! ONLINE