BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berpeluang untuk menebus kekalahan dialami pada Terbuka Indonesia minggu lalu apabila berdepan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir Terbuka Australia hari ini.
Pada kejohanan terdahulu, beregu No.19 dunia itu akur tewas 16-21, 18-21 di separuh akhir kepada gandingan tersebut, sekali gus kempunan untuk melangkah ke final pertama mereka musim ini.
Justeru, mereka sekali lagi berpeluang menempah slot ke pentas final di Terbuka Australia selain menggalas misi membalas dendam ke atas beregu yang menghuni ranking kelima dunia itu.
Bagaimanapun, Kian Meng mengakui, mereka berdepan tugas sukar bagi menewaskan Zhen Bang-Ya Xin selain percaya juara Terbuka Indonesia itu memiliki peluang lebih tinggi untuk mencatat kemenangan.
“Jujur saya cakap, mereka memiliki peratusan lebih tinggi untuk menang esok (hari ini) tetapi tidak ada sesiapa tahu apa yang bakal terjadi nanti. Kami hanya akan cuba tampilkan aksi terbaik.
“Walaupun kami akan turun sebagai underdogs dan mereka ada kelebihan pada perlawanan itu nanti, kami akan berikan segala-galanya selain tidak mudah berputus asa,” katanya kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Mengulas mengenai kemenangan 21-15, 23-21 ke atas rakan senegara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee di suku akhir semalam, Kian Meng menjelaskan, mereka memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dari segi pengalaman.
“Ini adalah kali pertama kami bertemu mereka dalam kejohanan biarpun sering menjalani latihan bersama. Saya rasa kami ada kelebihan dari segi pengalaman, terutamanya ketika berada dalam situasi mata penting.
“Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat tengok permainan mereka sudah semakin meningkat kerana mereka adalah junior kami. Saya harap selepas ini mereka boleh meningkatkan lagi fokus di mata penting,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE