fbpx

Ambil tindakan penjawat awam bermasalah – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

PETALING JAYA – Ketua jabatan bertanggungjawab melakukan prosedur tertentu berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai yang bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib penjawat awam sudah diwartakan dengan jelas melalui Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai panduan untuk semua ketua jabatan.

Katanya, seseorang penjawat awam itu boleh dikenakan tindakan atau hukuman seperti amaran, denda, lucuthak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja jika ia didapati bersalah kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan-peraturan yang ditetapakan.

“Cuepacs mengambil maklum teguran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu yang ‘menyimpan’ pegawai bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

“Dalam hal ini pandangan Cuepacs senada dengan EAIC iaitu mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru itu katanya, syor EAIC untuk tidak ‘menyimpan’ atau dalam istilahnya buang kerja sememangnya boleh dilaksanakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sebagai seorang pemimpin perlu ada sifat-sifat yang berani bertindak dan menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada pelanggaran etika dan peraturan dalam perkhidmatan awam.

“Sekiranya ketua jabatan yang mempunyai kuasa untuk bertindak menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sudah tentu organisasi akan menjadi lebih kompeten dan berdaya maju,” ujarnya.

Katanya, Perdana Menteri sendiri telah mengesyorkan untuk menetapkan setiap ketua jabatan tidak akan diberi kenaikan pangkat sekiranya diketahui terdapat pelanggaran tadbir urus dan integriti melibatkan jabatan atau unit diselia yang tidak dilaporkan atau diambil tindakan sewajarnya.

Katanya, salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat ditegah termasuklah menyembunyikan atau membiarkan salah laku tersebut terus berlaku.

Terdahulu, Pengerusi EAOC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar menegur kecenderungan agensi penguatkuasaan tertentu untuk ‘menyimpan’ pegawai yang bermasalah dalam isu salah laku dan rasuah.

Beliau berkata, mana-mana ketua jabatan yang tidak mengambil tindakan terhadap pegawai tersebut boleh dianggap melakukan satu kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI