PETALING JAYA – Selepas selesai kes perceraian penyanyi Aliff Aziz dan Bella Astillah, ibu kepada penyanyi itu Siti Hafiza kembali muncul meluahkan kata-kata ‘hikmah’ dalam media sosialnya, Instagram.
Siti Hafiza Basharahil atau mesra disapa Fiza memanjatkan rasa syukur apabila segala urusan dipermudahkan yang dipercayai merujuk kepada kemelut rumah tangga anaknya.
“Alhamdulillah di hari Khamis yang penuh barakah ini kami memanjatkan syukur dan Allah permudahkan semua urusan serta beri ketenangan pada kami sekeluarga.
“Yang baik semuanya dari Allah dan sebaliknya adalah khilaf dari kami yang daif dan tidak sempurna.
“Pada anda yang sentiasa mendoakan kami, masya-Allah hanya Allah dapat membalas jasa baik kalian dan sebaliknya, tabarakallah kami ucapkan,” katanya menerusi Instagram.
Tambahnya, sebagai manusia kita seharusnya belajar dari kesalahan sendiri selain mengutamakan soal ketenangan hati.
“Hati yang tenang itu sangat mahal harganya dan hanya Allah yang dapat memberikan kita ketenangan.
“Sebagai insan, wajib belajar dari segala kekhilafan dan mohon Allah kekalkan semoga kita terus istiqamah menjadi insan lebih baik,” jelasnya.
Dalam masa sama, Fiza sempat menitipkan nasihat supaya berusaha dalam kehidupan sebelum menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
“Ajal, maut, rezeki, kebahagiaan dan semuanya Allah yang tentukan.
“Kita terus berusaha selebihnya kita bertawakkal kepadaNya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, akaun Instagram Fiza tiba-tiba ‘lenyap’ apabila kontroversi terbaharu anak lelaki harapannya itu dengan seorang wanita asal Singapura dikenali sebagai Sarah Yasmine hangat diperkatakan.
Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff sampai ke kemuncaknya selepas lelaki itu ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkhalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac lalu.
Pada 11 Mac lalu, Bella memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara `fast track’ atas antaranya alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Semalam, Bella dan Aliff sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – KOSMO! ONLINE