PERSATUAN Bola Sepak Malaysia mengakui masih berpuas hati dengan prestasi skuad Harimau Malaya meskipun gagal mencipta sejarah untuk lolos ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.
Sebagai rekod, skuad negara kendalian Kim Pan-gon sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga peringkat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di belakang Oman dan Kyrgyzstan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi percaya kejayaan skuad negara meraih 10 mata dalam enam aksi diharungi pada kempen kelayakan membuktikan pasukan sudah mampu mencabar di peringkat Asia.
“Sudah tentu kami agak kecewa kerana tak dapat lepasi pusingan seterusnya tetapi ini menunjukkan pasukan telah bersedia cabar peringkat Asia. Sebelum ini mungkin kita lihat kita di peringkat ASEAN sahaja.
“Dengan 10 mata yang pasukan peroleh, angka tersebut boleh dianggap sesuatu yang agak positif tetapi kita kurang bernasib baik kerana tidak dapat melangkah ke pusingan seterusnya.
“Kita menang semua perlawanan dengan pasukan di ranking bawah dan dapat seri menentang Kyrgyzstan, cuma agak malang kita tidak berjaya ke peringkat seterusnya,” katanya selepas Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Prestasi Harimau Malaya wajar diberi pujian kerana masih ada beberapa negara yang layak ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 tetapi mengutip mata sama atau lebih rendah.
Antara pasukan tersebut seperti Indonesia meraih 10 mata, Korea Utara (9 mata), China (8 mata), Palestin (8 mata) dan Kuwait (7 mata) yang muncul naib juara kumpulan masing-masing.
Mengulas lanjut, Yusoff turut mengesahkan tiada perbincangan dilakukan membabitkan kontrak Pan-gon memandangkan pengendali dari Korea Selatan itu terikat bersama badan induk itu sehingga 2025.
“Setakat ini, tiada perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan dan kita akan ikut kontraknya yang ada sehingga tahun depan,” katanya.