fbpx

Guru tadika minta maaf, tak sengaja tampar murid 4 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malini ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Seorang guru wanita tadika swasta membuat permohonan maaf kerana tertampar anak muridnya berusia empat tahun selepas dituduh di Mahkamah Majistret hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat tertuduh M. Malini, 25, yang tidak diwakili peguam pada awalnya ketika proses mitigasi selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Malini memaklumkan telah insaf atas perbuatannya tersebut dengan memohon dikurangkan denda.

“Saya minta maaf, telah insaf. Saya tertampar (kanak-kanak tersebut). Lagipun, saya daripada golongan B40 dengan gaji RM1,700. Bapa saya disara menerusi tanggungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan ibu adalah suri rumah,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara selama dua bulan dari tarikh ditangkap pada 13 Mei lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan keputusan kes di Mahkamah Tinggi nanti.

Ini selepas tertuduh kembali ke galeri mahkamah dengan diwakili Peguam A. Birantha yang memohon penangguhan hukuman itu atas keadaan khas.

“Dia baharu berkahwin dua bulan lalu dan menjaga ibu bapa serta tidak mendapat nasihat daripada mana-mana peguam sebelum pengakuan bersalah dibuatnya

“Anak guam saya hanya mempercayai pengakuan bersalah itu hanya dihukum denda sahaja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong menegaskan pengakuan salah telah diterima dengan sabitan hukuman penjara dua bulan adalah tertakluk kepada budi bicara dan bidang kuasa mahkamah.

Pendakwaan kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin dan dipersetujui mahkamah sementara menunggu prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI