fbpx

Geran padanan sukan mula beri impak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUALA LUMPUR 13 Jun 2024 - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada atlet tenpin boling, Natasha Mohamed Roslan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023, di Casa MSN, di sin hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Geran padanan sukan bernilai RM50 juta yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat telah memberi impak yang membanggakan dalam arena sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan bernilai RM1 juta melalui geran padanan sukan yang disalurkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah membuahkan hasil yang cukup luar biasa.

Tegas Hannah, pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024, skuad negara melakukan kejutan selepas muncul juara dengan menumbangkan pasukan Thailand dalam acara regu dan double.

“Selain sepak takraw, pembangunan sukan atlet para turut menerima peruntukan sebanyak RM12 juta pada tahun ini, meningkat daripada RM10 juta pada tahun 2023. Peningkatan peruntukan Program Podium dan Road to Gold juga terlihat, dari RM55 juta pada tahun 2023 kepada RM72 juta pada tahun 2024,” katanya.

Dalam masa sama, Hannah turut menjelaskan terdapat peningkatan dalam elaun latihan atlet, di mana elaun minimum dinaikkan dari RM800 kepada RM1,500 bagi atlet yang baru memasuki Program Podium.

“Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) turut ditawarkan dengan tawaran gaji lebih menarik. Antara jawatan dan pendidikan tertentu boleh menikmati gaji bulanan mencecah RM9,500 berbanding RM4,500 sebelumnya,” tambahnya.

Sementara itu, Hannah turut menekankan bahawa tahun ini merupakan tahun yang mencabar kerana negara bakal menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Paris pada Julai, diikuti penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada Ogos di Sarawak serta Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan diadakan pada September hingga Oktober nanti. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI