DUSSELDORF – Penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe memasang hasrat untuk menjadikan trofi Euro 2024 sebagai koleksi terbaharu selepas membantu pasukan itu menjadi juara Piala Dunia 2018.
Meskipun baru berusia 25 tahun, namun bintang baharu Real Madrid itu sudah menikmati status sebagai legenda Les Bleus apabila memenangi Piala Dunia, Liga Negara-Negara Eropah serta pelbagai gelaran domestik.
Justeru, Euro merupakan satu-satunya gelaran utama belum dimenanginya di pentas antarabangsa bersama Perancis dan kini dia berpeluang melakukannya pada edisi kali ini yang berlangsung di Jerman bermula awal pagi esok.
“Impian saya ketika ini untuk memenangi Euro. Jujur saya katakan, saya sudah memenangi Piala Dunia dan Liga Negara-Negara Eropah, hanya Euro yang belum berada dalam kabinet trofi.
“Saya benar-benar mahu menjulang trofi Euro, lebih-lebih lagi ini adalah kejohanan pertama sebagai kapten. Bagi saya, ia sangat penting kerana saya mahu berikan kegembiraan kepada seluruh rakyat Perancis,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga mahu melupakan kekecewaan gagal mempertahankan gelaran Piala Dunia yang dimenangi selepas tewas kepada Argentina di perlawanan akhir pada edisi 2022 yang berlangsung di Qatar.
“Kami perlu pandang ke hadapan dan lupakan kekecewaan tewas di final Piala Dunia sebelum ini. Sudah tentu kami sangat kecewa kerana sangat hampir untuk memenanginya buat dua kali berturut-turut,” ujar Mbappe. – AGENSI