MUNICH – Ketua jurulatih Scotland, Steve Clarke tidak rela skuad kendaliannya hanya menjadi ‘bahan tontonan’ ketika bertemu Jerman pada aksi pembuka tirai Euro 2024 di Allianz Arena awal pagi esok.
Meskipun sedar berdepan pasukan tuan rumah di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, namun beliau meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemainnya untuk melakar kejutan pada aksi sulung Kumpulan A itu.
Tegas Clarke, beliau enggan Scotland hanya dianggap sebagai ‘aksi pertunjukan’ memandangkan mereka akan membuat perhitungan dengan Jerman sebaik sahaja upacara pembukaan Euro 2024 tamat.
“Saya percaya pemain-pemain Scotland tahu kami ke sana bukan sekadar untuk menikmati upacara pembukaan dan menjadi pasukan belasahan. Mereka perlu faham misi utama mereka adalah untuk catat kemenangan.
“Semua orang tahu bahawa kami akan bermain selepas upacara pembukaan, jadi sedikit mengganggu persiapan. Bagaimanapun, kami perlu bersiap sedia untuk turun ‘berperang’ di atas padang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pemain-pemainnya supaya tidak percaya dengan spekulasi yang mendakwa Jerman sedang berdepan isu keharmonian dalam pasukan ekoran pergaduhan kecil ketika latihan.
“Ramai orang mendakwa Jerman berada dalam keadaan pincang ketika ini tetapi saya tidak bodoh untuk mempercayai khabar angin seperti itu. Saya tahu mereka sangat bagus tetapi kami juga bukanlah pasukan yang senang ditewaskan,” ujar Clarke. – AGENSI