PETALING JAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperoleh perintah jagaan sementara adik kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin yang ditemui meninggal dunia, tahun lalu.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 25(2), Akta Kanak-kanak 2001 dikeluarkan Mahkamah Majistret, Shah Alam, hari ini.
“Kanak-kanak (itu) akan ditempatkan di Institusi Kebajikan untuk tempoh 2 bulan ‘pending’ (bergantung) penyediaan laporan siasatan Orang Yang Layak dan Sesuai,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Terdahulu, JKM Selangor membawa adik Zayn Rayyan ke sebuah hospital untuk pemeriksaan selepas mengambilnya di rumah keluarga ibu bapa Zayn Rayyan di Puncak Bestari, Selangor.
Ia susulan, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu pada Disember tahun lalu.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, dalam tempoh tersebut, pihaknya akan meneliti untuk menentukan penjaga yang layak bagi kanak-kanak berkenaan.
“Dalam tempoh (dua bulan) tersebut, kita akan menentukan siapa penjaga berkelayakan untuk menjaga kanak-kanak tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE