KUALA LUMPUR – “Janganlah ‘dikelautkan’ seolah-olah satu gerakan tersusun untuk beri warga negara secara borong,” tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menegur segelintir pihak yang didakwa mempolitikkan isu terhadap program taklimat kewarganegaraan yang dianjurkan wakil rakyat untuk memberi kefahaman kepada penduduk di kawasan mereka.
“Saya pernah jadi wakil rakyat beberapa penggal dan pusat khidmat tak kira wakil pembangkang atau kerajaan pasti ada permohonan kewarganegaraan. Kecuali lah kalau wakil rakyat itu tak buat kerja.
“Masalah seperti anak luar nikah, anak dijumpai, anak angkat dan sebagainya. Kadangkala di pusat khidmat ini, pengetahuan asas berkenaan susur galur dan proses permohonan untuk jadi warga negara berdasarkan Perlembagaan, tak ramai petugas atau wakil rakyat ada kefahaman baik.
“Ada wakil rakyat yang permohonan diterima itu banyak. Jadi mereka ambil inisiatif menerangkan tatacara. Itu tugas wakil rakyat, malah hari ini pun saya dapat beratus permohonan daripada seorang Ahli Parlimen di Kelantan yang mana kawasannya berdekatan Siam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous serta Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada wakil rakyat menjalankan tugas di kawasannya.
“Apabila wakil rakyat anjurkan (program taklimat kewarganegaraan), tengok dari kaca mata jernih iaitu wakil rakyat sedang jalankan tugas bantu rakyat bagi mendapatkan kewarganegaraan secara sah ikut undang-undang.
“Isu itu tak patut dipolitikkan sama sekali. Beri ruang wakil rakyat jalankan tugas sesuai dengan tujuan mereka dilantik,” katanya.
Terdahulu, tular poster penganjuran program terbabit yang mengundang pelbagai pandangan negatif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang, Andrew Chen Kah Eng menerusi hantaran Facebook memaklumkan, taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun ini, ditangguhkan.
Dakwanya, taklimat berkenaan bertujuan menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain. – KOSMO! ONLINE.