MEKAH – Buat pertama kalinya pihak berkuasa Arab Saudi menampal pelekat khas di setiap pintu bas yang telah dinaiki jemaah haji.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, pelekat khas itu diletakkan dengan tujuan mengelakkan kehadiran jemaah haji tanpa menggunakan visa yang sah semasa dalam perjalanan dari hotel penginapan ke Arafah.
Katanya, ia dilekatkan di pintu bas selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengimbas kad nusuk setiap jemaah haji yang menaiki bas berkenaan.
“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini penguatkuasaan pihak berkuasa tahun ini sangat ketat dan telah banyak tangkapan dibuat. Ini menandakan keseriusan kerajaan Arab Saudi dalam menguatkuasakan peraturan di setiap ‘pit stop’ sebelum bas sampai di Arafah.
“Sebab itu saya ingin menasihati jemaah yang ingin menunaikan haji pada tahun-tahun akan datang supaya mengelak daripada masuk Mekah dan Madinah tanpa permit yang sah dan hanya menggunakan sama ada visa yang dikeluarkan oleh Tabung haji atau visa mujamalah yang dikeluarkan oleh kedutaan,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan jemaah haji ke Arafah di sini hari ini.
Sebanyak 20 buah bas turut disediakan untuk setiap maktab bagi membawa semua jemaah di 12 hotel penginapan secara tiga peringkat ke Arafah, yang terletak 22 kilometer dari Masjidil Haram. – KOSMO! ONLINE