PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan mulai sesak setakat pukul 7.45 malam tadi ekoran berlakunya pertambahan kenderaan untuk pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha, Isnin ini.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya (LLM), aliran trafik dilaporkan tinggi di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK) ekoran pertambahan kenderaan.
Kelihatan trafik sesak dari tol Gombak menghala ke Genting Sempah sehingga ke Bentong.
Trafik di Lebuh Raya Plus Utara @ E1 juga kelihatan sesak di KM 327.0 arah Utara dari Bidor ke Tapah ekoran terjadinya kemalangan dan aliran trafik yang tinggi.
Sementara itu, di Lebuh Raya Plus Selatan @ E2 mendapati trafik perlahan di KM 22.7 arah utara dari Senai ke Kulai ekoran lori rosak dan menyebabkan lorong kecemasan terhalang.
Di Lebuh Raya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), kemalangan di KM 41.6 lewat petang tadi menyebabkan trafik perlahan hampir 40 minit dari Bandar Serenia ke Nilai.
Terdahulu Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd. Aseral Jusman mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha 1445H/2024M pada Isnin iaitu 17 Jun depan. – KOSMO! ONLINE.