RANAU – Seorang pendaki maut selepas rebah secara tiba-tiba sebelum tidak sedarkan diri ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu kelmarin.
Mangsa lelaki tempatan berusia 53 tahun dikatakan rebah ketika tiba di kilometer 8.3 laluan puncak Gunung Kinabalu, kira-kira pukul 5.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima memaklumkan ada satu kematian membabitkan seorang lelaki ketika mendaki Gunung Kinabalu pada 11 pagi.
“Mangsa membuat pendakian bermula dari Timpohon Gate pada Selasa lalu, bersama isteri dan sembilan rombongan lain termasuk tiga Malim Gunung mengiringi mereka. Mangsa sewaktu pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, setibanya di kilometer 8.3, mangsa tiba-tiba berhenti dan terus rebah lalu tidak sedarkan diri
“Malim Gunung yang berada di lokasi telah memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diusung turun ke Timpohon Gate oleh pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kundasang setibanya di Timpohon Gate.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE