PETALING JAYA – Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan berusia 29 tahun itu didakwa secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Berikutan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala peguam Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Abdul Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan
Tarikh 26 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes.
Terdahulu, sebelum pertuduhan dibacakan, ketika ditanya jurubahasa sama ada kedua-dua tertuduh sihat atau tidak, Zaim Ikhwan memberitahu dia sihat, manakala Ismanir pula mengatakan dia tidak sihat dan muntah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, manakala peguam Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Abdul Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Sebelum itu, peguam Mahmud yang mewakili Ismanira enggan mengulas mengenai seksyen atau pertuduhan yang akan dikemukakan terhadap anak guamnya.
Ketika ditanya adakah anak guamnya akan dipertuduhkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, peguam itu menjawab tidak pasti.
Sebelum itu, peguam Fahmi yang mewakili bapa Zayn Rayyan ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tertuduh akan didakwa pagi ini.
Pasangan suami isteri itu direman sejak 1 Jun ini bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 7 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di kawasan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – KOSMO! ONLINE