KEJOHANAN Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang bakal menjadi medan cukup penting buat atlet 400 meter (m) negara, Umar Osman.
Atlet berusia 21 tahun itu mahu membuktikan kemampuan selain memberi lebih keyakinan kepada Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) mengambilnya sebagai penuntut.
Justeru, Umar meletakkan sasaran untuk memperbaiki catatan tahunan terbaik musim ini mengatasi masa 47.53s yang dilakukannya ketika menyertai Kejohanan Olahraga Siri Super Terbuka Pahang bulan lalu.
“Menjelang saingan Terbuka Malaysia, ia merupakan kejohanan ketiga saya untuk tahun ini, jadi sudah tentu mahu melakukan catatan lebih baik berbanding kejohanan yang disertai sebelum ini.
“Memang saya perlu meletakkan sasaran memperbaiki catatan masa bagi memberi keyakinan kepada Universiti Auburn untuk lebih percaya dan mengambil saya dengan penuh yakin tanpa was-was,” kata pemegang rekod 400m kebangsaan itu dengan catatan 46.09s.
Ketika ini, Umar berada dalam persiapan ke Auburn bagi pengambilan kedua Ogos depan selepas tertangguh sejak Januari lalu gara-gara terlewat mendaftar dengan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).
Mengulas mengenai aksi di Terbuka Malaysia, atlet kelahiran Johor itu mengakui tidak berdepan sebarang tekanan meskipun dijangka berdepan cabaran atlet-atlet dari luar negara yang turut serta.
“Bagi kejohanan Terbuka Malaysia, tidak ada tekanan untuk saya walaupun ada atlet luar negara datang. Saya hanya mahu beraksi di laman sendiri dan cuba tewaskan semua atlet luar itu.
“Untuk menyamai rekod kebangsaan belum ada sasaran lagi, cuma nak buat catatan terbaik musim ini dalam lingkungan 46s. Kemudian barulah fikir sasaran untuk memperbaiki rekod kebangsaan,” ujar Usman.