NANAS sering dikaitkan dengan pelbagai mitos yang membuatkan ramai rasa teragak-agak untuk menjamahnya.
Antara mitos paling terkenal, nanas mampu menyebabkan keguguran bagi ibu mengandung kerana bersifat ‘tajam’.
Terdapat juga pihak yang mengelak daripada memakan buah tersebut kerana ia akan menyebabkan berlakunya ‘pedas’ pada lidah.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa nanas madu atau MD2 memberikan rasa manis dan keenakan tersendiri kepada si pemakan.
Bahkan, varian nanas tersebut tidak memberikan rasa ‘pedas’ walaupun isinya dimakan begitu sahaja.
Menerusi keunikan itu, Cafe Nanas Montel yang dibuka sejak 2020 memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati nanas tanpa ragu-ragu.
Kafe dengan lebih 10 menu berasaskan nanas itu terletak di dalam Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.
Menurut pengusaha kafe, Azli Mihat, menu pertama yang diusahakan bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) adalah aiskrim nanas.
“Untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang khasiat nanas, kami bersama LPNM menyasarkan golongan kanak-kanak terlebih dahulu.
“Dengan menggalakkan kanak-kanak memakan aiskrim nanas MD2, ‘stigma’ terhadap buah ini dapat diperbetulkan,” katanya kepada Horizon.
Selain aiskrim, kafe di tepi tasik itu turut menawarkan pencuci mulut lain seperti nanas MD2 shake, nanas MD2 float dan affogato.
Penggunaan nanas MD2 dalam resipi harian biasa seperti set ayam penyet, asam laksa dan set siakap tiga rasa turut memberikan rasa premium kepada juadah tersebut.
Secara asasnya, makanan-makanan tersebut tidak pedas dan boleh dinikmati pelanggan daripada pelbagai lapisan usia.
Bagi peminat makanan pedas, mereka boleh meminta agar ditambah tahap kepedasan makanan itu sewaktu membuat pesanan.
Bagi seleksi minuman pula, pelanggan disarankan untuk mencuba jus asli nanas MD2 dan kopi nanas MD2.
Semua resipi di Cafe Nanas Montel merupakan idea isteri Azli, Fifi Norbaizura Mohd. Salim.
Tambah Azli, kesemua juadah yang ditawarkan telah melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan ia sesuai untuk dipasarkan.
“Setiap makanan yang kami perkenalkan mengikut Akta Makanan 1983.
“Kami juga mendapatkan nasihat pakar pemakanan sebelum memasarkan makanan kami.
“Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau tentang menu-menu kami. Kami tidak melakukan kombinasi makanan sekadar untuk viral,” jelasnya.
Lebih unik, setiap makanan tidak diletakkan gula tambahan kerana nanas MD2 sendiri sudah memiliki rasa manis yang mencukupi.
Sekiranya mahu menjamah makanan ringan, pelanggan boleh mencuba menu signatur yang sukar didapati di tempat lain iaitu karipap nanas MD2 dan popia nanas MD2.
Untuk dua menu tersebut, elemen nanas diolah, sekali gus memberikan gabungan rasa unik seakan-akan pai.
Ujar Azli lagi, restoran yang dibuka pada setiap hari kecuali Isnin itu turut menawarkan juadah tidak berasaskan nanas.
“Kami turut memiliki menu biasa yang tidak mengandungi nanas. Oleh itu, kafe kami sesuai untuk semua pelanggan.
“Bagaimanapun, kami berharap kewujudan kafe ini boleh membuatkan lebih ramai orang mahu mencuba buah nanas yang memiliki banyak manfaat kesihatan,” ujarnya.