fbpx

Tarif air di Johor tidak naik susulan pengapungan harga diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Ranhill SAJ tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air di negeri ini susulan pengapungan harga diesel yang dilaksanakan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Abdul Aziz Khan Alior Khan berkata, ini kerana syarikat pengendali perkhidmatan air itu telah memperkenalkan tarif baharu air di negeri ini kepada RM1.05 satu meter padu mulai Februari lalu.

Katanya, langkah kerajaan yang memansuhkan subsidi diesel di Semenanjung memberi tempias kepada operasi syarikat yang banyak bergantung kepada jentera berat termasuk lori.

“Tidak dinafikan kos operasi kita pun akan terkesan setelah banyak jentera kita bergerak termasuk ke lokasi paip pecah dan menangani aduan rakyat, ini memberi kesan kepada langsung kepada pertambahan kos syarikat.

“Bagaimanapun, kita tak boleh sewenang-wenangnya memindahkan kos operasi itu kepada kenaikan tarif air di negeri ini kerana ia perlu dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani.

Ahad lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi.

Abdul Aziz Khan berkata, masih terlalu awal bagi pihak Ranhill SAJ membincangkan soal cadangan kenaikan tarif kerana perlu membuat perkiraan terperinci kepada pertambahan kos operasi disebabkan pengapungan harga diesel di Semenanjung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI