BEIJING – Sebuah tandas awam di satu lokasi pelancongan popular di China menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mempunyai jam digital yang mengira tempoh masa seseorang menggunakan tandas.
Tandas itu terletak di Grottoes Buddha Yungang dalam wilayah Shanxi, yang menjadi tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Sebuah video tular yang dikongsikan di pelbagai laman media sosial dan berita China menunjukkan satu set jam digital dipasang di atas deretan tandas wanita.
Setiap kubikel tandas mempunyai jam digital sendiri, di mana jika tiada sesiapa menggunakannya, paparan skrin menunjukkan perkataan ‘kosong’ dalam warna hijau.
Sekiranya seseorang menggunakan tandas, jam digital akan menunjukkan tempoh masa yang sedang berjalan sejurus pintu dikunci.
Video itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial Weibo, dengan ada yang mencadangkan bahawa tindakan tersebut dapat mencegah pengguna daripada bermain dengan telefon ketika berada di dalam tandas.
“Ini adalah lokasi pelancongan dan bukannya pejabat. Siapa mahu duduk lama-lama di dalam tandas? Adakah ia perlu dilakukan?” kata seorang netizen.
Sementara itu, seorang pekerja memberitahu akhbar Xioxiang Morning Herald bahawa peranti tersebut dipasang bagi menangani masalah bilangan pengunjung yang terlalu ramai.
“Ia bukan untuk mengawal tempoh masa anda berada di dalam tandas, tidak mungkin kami mahu mengusir seseorang keluar dari tandas dengan tiba-tiba.
“Kami juga tidak menetapkan sebarang had masa seperti 5 atau 10 minit atau berapa lama seseorang itu boleh menggunakan tandas,” katanya. – AGENSI