KUALA LUMPUR – Siasatan pihak polis terhadap kes pembunuhan kejam kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin telah selesai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, bagaimanapun siasatan lanjut boleh dijalankan sekiranya terdapat permintaan daripada pihak pendakwaan.
“Untuk itu siasatan oleh pihak polis telah tamat di sini dan semua kini di tangan pihak pendakwa raya, bagaimanapun siasatan lanjut boleh dijalankan sekiranya terdapat permintaan daripada pihak pendakwaan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Tambah Shuhaily, pihaknya memohon orang ramai untuk tidak lagi membuat spekulasi berhubung kes berkenaan dan membenarkan proses perbicaraan dijalankan dengan lancar bagi memberikan keadilan kepada Zayn Rayyan.
“Kes ini amat sensitif kerana ia melibatkan mangsa seorang kanak-kanak istimewa dan tertuduh pula ibu dan bapanya, saya berharap masyarakat diluar sana berhenti membuat spekulasi mengenai kes ini agar keadilan kepada mangsa dapat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu pasangan ibu bapa kepada Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini antara pada pukul 12 tengah hari pada 5 Disember hingga pukul 9.55 malam pada 6 Disember lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE