PETALING JAYA – Siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan sehingga pelaku sebenar ditemui.
Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, berkata pada awalnya anak guamnya disiasat mengikut itu, namun pertuduhan dibuat atas kesalahan pengabaian.
“Bagaimanapun siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih berjalan sehingga dapat siapa pelakunya, ia tidak akan berhenti.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teruskan siasatan untuk mencari siapa pelaku sebenarnya. Ini harapan daripada keluarga dan masyarakat,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini.
Sementara itu, kertika ditanya sama ada pasangan itu boleh dituduh atas kesalahan membunuh seperti siasatan ke atas mereka sebelum ini, Fahmi berkata ia bergantung kepada siasatan lanjut dan keputusan pihak pendakwaan.
Sementara itu, peguam Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili ibu kanak-kanak itu berkata pertuduhan bunuh tidak dibuat ke atas pasangan terbabit kemungkinan disebabkan bukti serta keterangan saksi.
“Pihak pendakwaan membuat keputusan untuk hanya tuduh mengikut Akta Kanak-Kanak. Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dibuat ke atas kedua-dua tertuduh,” kata peguam itu.
Sementara itu, mengenai masalah kemurungan yang dihadapi pasangan itu, Mahmud berkata mereka sedang menjalani rawatan psikologi selepas kejadian tersebut berlaku ke atas anak sulung mereka.
“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) lagi. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.
“Saya juga percaya ibu bapa kepada Zayn Rayyan sudah dapatkan awatan dari awal kes, lebih lagi mereka mempunyai seorang lagi anak yang juga autisme,” kata peguam itu. – KOSMO! ONLINE