fbpx

PDRM guna semaksimum perundangan, kepakaran dalam kes Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhaily.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semaksimum mungkin peruntukan yang diberikan undang-undang kepada pihaknya bagi merungkai kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ia termasuk juga segala kepakaran dan aset selama tempoh enam bulan siasatan dan risikan dilakukan.

Jelasnya, pendakwaan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dikenakan terhadap pasangan berkenaan antara tuduhan pilihan dikemukakan oleh Bahagian D5 (Pendakwaan dan Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kepada pihak pendakwa raya selain Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Satu task force juga telah ditubuhkan oleh pihak kami di peringkat Bukit Aman yang telah mendedikasikan seramai tiga pegawai untuk mengkaji semua semua bukti yang ada.

“Mereka juga sudah meneliti ribuan helaian kertas siasatan, klip CCTV (televisyen litar tertutup), rakaman papan pemuka (dashcam), forensik, serta keterangan saksi.

“Pihak pendakwaan berpendapat bahawa buat masa ini seksyen yang paling sesuai untuk digunakan adalah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Kata Mohd. Shuhaily, polis diberikan hak untuk menolak pemohonan peguan untuk berjumpa pasangan berkenaan mengikut Seksyen 28 A (8) Kanun Tatacara Jenayah.

“Bahagian 5 Kuasa Istimewa Penyiasat (eng: Special Investigation Power) pada seksyen berkenaan telah memberikan kuasa kepada pihak polis untuk berbuat demikian semasa siasatan dijalankan.

“Pihak polis tidak mempunyai sebarang niat tidak baik semasa menguatkuasakan peruntukkan berkenaan kerana fokus polis hanya untuk menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan semua peruntukkan disediakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily memaklumkan tujuan pihak polis membawa ibu Zayn Rayyan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan semua keterangan dan pendedahan yang diperolehi semasa siasatan boleh diguna pakai di mahkamah ketika perbicaraan.

“Selepas perbincangan mendalam dijalankan antara pasukan polis dan Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan memutuskan tuduhan mengikut Akta Kanak-Kanak cukup memadai pada ketika ini, ‘we are so close yet so far’,” katanya.

Mohd. Shuhaily turut memohon orang ramai untuk tidak lagi membuat spekulasi berhubung kes berkenaan dan membenarkan proses perbicaraan dijalankan dengan lancar bagi memberikan keadilan kepada Zayn Rayyan.

“Kes ini amat sensitif kerana ia melibatkan mangsa seorang kanak-kanak istimewa dan tertuduh pula ibu dan bapanya, saya berharap masyarakat diluar sana berhenti membuat spekulasi mengenai kes ini agar keadilan kepada mangsa dapat dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI