BANGKOK – Seorang warga emas di wilayah Chon Buri memaafkan perompak yang menyamun wang tunai dan barangan kemas miliknya bernilai hampir 200,000 baht (RM25,797), lapor laman berita Thaiger semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Kiatt, 77, dirompak oleh dua wanita selepas mereka menumpangkannya menaiki kenderaan.
Suspek yang dikenali sebagai Somporn, 39, dan seorang lagi rakan subahat mengacukan pistol ke arah mangsa ketika merompaknya.
Mereka mencuri barangan berharga milik mangsa dan meninggalkan warga emas itu di tepi sebuah kolam.
Selepas polis menahan Somporn, mangsa dipanggil untuk mengenal pasti suspek di balai.
Warga emas itu kemudian memberitahu bahawa dia memaafkan suspek kerana tidak membunuhnya.
Dia kemudian bertanyakan lokasi barangan kemas miliknya yang dicuri, namun suspek enggan memberikan maklumat, menyebabkan polis terpaksa meneruskan tindakan undang-undang.
Somporn mengaku melakukan jenayah tersebut, manakala seorang lagi rakan subahatnya masih diburu. – AGENSI