COPENHAGEN – Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark menarik balik jualan beberapa produk mi ramen jenama Buldak keluaran syarikat Korea Selatan, Samyang kerana terlalu pedas, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Agensi itu menerusi pengumuman di laman web rasminya berkata, tiga produk tersebut adalah Buldak 3x Spicy Hot Chicken, 2x Spicy Hot Chicken dan Hot Chicken Stew.
Penarikan balik itu dikaitkan dengan tahap capsaicin yang tinggi serta ekstrak lada cili yang memberikan rasa pedas pada ramen.
“Institut Makanan (Universiti Teknikal Denmark) menilai bahawa tahap jumlah capsaicin dalam satu pek bagi ketiga-tiga produk mi (ramen) ini adalah sangat tinggi sehingga menimbulkan risiko pengguna mengalami keracunan akut,” kata agensi makanan itu.
Sementara itu, Samyang mengeluarkan kenyataan kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) yang menegaskan pendirian syarikatnya.
“Kami faham bahawa pihak berkuasa makanan Denmark menarik balik produk itu bukan kerana masalah kualitinya tetapi kerana ia terlalu pedas.
“Produk tersebut dieksport ke seluruh dunia tetapi ini adalah kali pertama ia ditarik balik atas sebab tersebut,” ujarnya. – AGENSI