fbpx

Mohammad Faiz dilantik Pengerusi SC baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Faiz.

PUTRAJAYA – Datuk Mohammad Faiz Azmi Mohammad Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuat kuasa 16 Jun ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yang akan bersara pada 15 Jun ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan ini adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].

“Mohammad Faiz mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni (Perundangan) daripada Durham University dan ahli beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW),” katanya hari ini.

Mohammad Faiz berpengalaman menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan merupakan Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos 2023.

Berbekalkan pengalaman yang ada, MOF yakin beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.

Pada masa sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berterima kasih kepada Awang Adek atas perkhidmatan di SC dan percaya kepakaran serta pengalaman beliau dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara.

Di bawah kepemimpinan Awang Adek, SC telah merombak dua undang-undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan.

Ini termasuk memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange), sebuah platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.

“Lain-lain pencapaian beliau termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Shariah untuk pasaran modal Islam.

“Selain itu pelancaran pelan hala tuju untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI