KUALA LUMPUR – Vokalis Cokelat, Kikan Namara mendedahkan berasa benci apabila masih dipanggil Kikan Cokelat selepas mengundurkan diri daripada kumpulan popular Indonesia itu pada tahun 2010.
Katanya, hubungan mereka tidak baik sepanjang 12 tahun ‘berpisah’ sehingga dia enggan dikaitkan dengan nama mahupun rakan seperjuangan lain sebaik memilih bergerak solo.
“Selama saya tak bersama Cokelat hakikatnya saya jadi benci dan marah kalau orang masih memanggil saya sebagai Kikan Cokelat.
“Saya ini Kikan Namara, saya usaha bermati-matian melepaskan diri dari bayang-bayang Cokelat tetapi siapa sangka akhirnya kami bersatu kembali pada 2022.
“Mungkin ini rahsia Allah. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergabung dengan abang-abang saya di sini. Jadi reunion ini sangat istimewa,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert Cokelat Kembali di Hard Rock Cafe
Hard Rock, di sini, semalam.
Menyentuh mengenai penyatuan semula dengan bandnya sejak dua tahun lalu, penyanyi berusia 48 tahun itu tidak menolak gabungan ini direalisasikan atas usaha pemain gitar, Edwin dan pengurusnya, Udzir Harris.
“Edwin mewakili pasukan Cokelat manakala Udzir pula KL mewakili saya. Mereka berdua inilah yang bersungguh-sungguh berkomunikasi tanpa pengetahuan saya untuk memujuk kembali.
“Sebenarnya saya memang marah dengan Udzir yang juga suami saya pada awalnya kerana berhubung dengan Cokelat selepas sekian lama kami memilih jalan masing-masing
“Udzir cuba berbohong tetapi akhirnya membuka rahsia sebenar bahawa Edwin, Ernest, Ronny dan Ervin menyimpan hasrat besar untuk melihat saya kembali bersama band,” ulasnya.
Pada masa sama, Kikan turut mendedahkan punca pengunduran adalah mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga terutama anak yang masih kecil ketika itu.
“Antara kami berlima, saya anggota pertama mendirikan rumah tangga, jadinya saya mencuba membahagikan masa dengan baik untuk karier dan keluarga.
“Selama dua tahun saya berperang dengan batin sebelum akhirnya membuat keputusan memilih keluar kerana merasakan itu yang terbaik,” katanya.
Selain Kikan dan Edwin, band asal Bandung yang ditubuhkan pada 1996 itu turut membariskan Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram).
Band yang berpisah selama 12 tahun itu kembali bersatu menerusi Hari Kemerdekaan Indonesia yang berlangsung 17 Ogos 2022.
Bersempena penggabungan Cokelat, Kikan bersama empat rakannya diterbangkan ke Malaysia menerusi konsert mega di Zepp Kuala Lumpur 7 September 2024.
Dianjurkan Tanjak Global Services, tiket menyaksikan kumpulan rock alternatif yang berharga antara RM139 hingga RM380 menerusi tanjak_cokelat.ubertickets.asia. -KOSMO! ONLINE