ARAU – Seorang bapa meluahkan rasa syukur apabila dibebaskan dari ‘tirai besi’ lebih awal iaitu menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di sini hari ini.
Menurut orang bebas berlesan (OBB) berusia 24 tahun yang mahu dikenali sebagai Din, dia berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk beraya bersama isteri dan anaknya lelakinya berusia settahun lima bulan.
“Saya telah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan kerana kesalahan berkaitan dadah dan kali ini rasa sangat bersyukur apabila diberi peluang kali kedua.
“Sebenarnya, perasaan ini bercampur baur antara sedih dan gembira kerana dapat beraya di luar dan saya nekad untuk berubah demi keluarga terutama anak lelaki dan isteri,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Perlis, di sini hari ini.
OBB tersebut merupakan antara 15 prospek yang dibebaskan lebih awal dari penjara sempena program PBSL Ihsan Madani, Kepulangan yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Sementara, seorang pemilik syarikat cuci kereta dan kebun yang menyertai program PBSL, Ahmad Hafizal Husni berkata, dia mengambil beberapa prospek untuk bekerja dalam bidang perkhidmatan yang ditawarkan. – KOSMO! ONLINE