fbpx

Lambat 5 minit, saya mungkin mati – Azlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlee bersyukur masih dipanjangkan nyawa selepas diserang penyakit jantung tempoh hari. - SYAKIR RADIN

PETALING JAYA – Ketika waktu getir berperang dengan serangan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) , pelakon dan pelawak Azlee hanya sempat mengucap dua kalimah syahadah sambil ditemani isteri dan anak sulungnya.

Kata Azlee atau nama Muhammad Azlee Jaafar, 56, ketika itu dia masih sempat berfikir keadaan seorang lagi anaknya yang sedang menyambung pengajian di Melaka.

“Semasa kena serangan jantung, dada saya sempit, terbakar dan susah bernafas. Saya pandang muka isteri dan anak sulung saya.

“Fikiran saya teringkatkan anak yang belajar di kolej di Melaka. Mengucap saya sambil cakap ‘ya Allah, kalau mahu panjangkan umur, kau buatlah tetapi kalau nak ambil aku, aku tidak tahan aku reda’.

“Cerita fasal pemikiran, saya mengucap banyak. Minta Allah ampunkan dosa dan sempat cakap kepada isteri ampunkan dosa, jaga anak saya di Melaka sambil meleleh air mata saya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa malam gala filem Saka Perawan semalam.

Bercerita lanjut, anggota kumpulan Senario itu turut meluahkan rasa syukur apabila keluarganya mengambil tindakan segera membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Oleh kerana saya bernasib baik berlaku di rumah, isteri dan anak cepat-cepat bawa ke klinik.

“Allah sayangkan saya dan doktor kata kalau lambat lima minit, saya mungkin tiada dalam dunia ini.

“Saya amat bersyukur doktor selamatkan saya. Ada lebih kurang 15 orang yang rawat saya di IJN,” ujarnya.

Dalam masa sama, Azlee turut memaklumkan perkembangan terkini dirinya yang baru sahaja beberapa hari selesai menjalani prosedur angiografi dan pemasangan stent (tiub kecil).

“Saya masih dalam tempoh pemulihan. Biasalah kalau naik turun tangga mesti akan mengah.

“Namun, itulah yang bagus dan doktor pun nasihatkan kerap buat senaman,” jelasnya lagi.

Pada 5 Jun lalu, Azlee dikejarkan ke IJN kerana disahkan mempunyai masalah saluran darah pada jantung tersumbat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI