fbpx

‘Kita bukan syarikat swasta, kejar rating’ – Ketua Pengarah RTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaimi menafikan dakwaan sebilangan pihak RTM sengaja mengada-adakan kontroversi melibatkan Ustaz Don demi mengejar rating.

PETALING JAYA – Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menafikan dakwaan sebilangan pihak mengatakan bahawa kontroversi melibatkan Ustaz Don sengaja diada-adakan demi menaikan rating program Salam Baitullah.

Suhaimi, 62, berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan sebuah jenama milik kerajaan yang tidak pernah memikirkan tentang rating atau jumlah tontonan.

“Kita bukan syarikat swasta. Kita jenama atau stesen penyiaran awam milik kerajaan Malaysia. Saya sebagai penjaga jenama harus bertindak pantas sekiranya ada sebarang isu terjadi.

“Kejar rating tidak pernah ada dalam kamus jenama RTM. Dan, kita tidak pernah berniat untuk mengambil kesempatan daripada kesusahan yang melanda orang lain,” katanya kepada HibGlam ketika dihubungi hari ini.

Suhaimi juga memaklumkan, Ustaz Don akan meneruskan peranan seperti biasa dalam program Salam Baitullah selepas perbincangan berlaku antara pihak pendakwah bebas itu dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) baru-baru ini.

“Macam saya cakap sebelum ini, saya rehatkan Uztaz Don kerana tidak mahu orang saling berbalah.

“Selepas berjumpa dengan Jakim dan Ustaz Don pun mengakui khilafnya, kita ‘move on’. Tiada manusia dalam dunia ini yang terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Jadi, Ustaz Don boleh menjalankan tugasnya dalam program seperti biasa cumanya, saya nasihatkan kepada semua orang (bukan Ustaz Don sahaja) agar berhati-hati dalam berbicara agar kesilapan lama tidak berulang,” ujarnya lagi.

Pihaknya juga akan memastikan setiap program yang disiarkan mengikut peraturan serta garis panduan yang sedia ada.

Terdahulu, Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang disiarkan secara langsung di TV1 sejak 2 Jun lalu.

Beliau direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan beliau ketika bersiaran di konti stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai kenyataan Ustaz Don mengenai kisah Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW yang diragui.

Ustaz Don kemudian dipanggil Jakim baru-baru ini yang turut disertai wakil daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil.

Salam Baitullah adalah rancangan di saluran RTM yang bersiaran setiap kali musim haji. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI