fbpx

Keamanan dunia semakin merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK berkumpul di jalanan ketika melakukan protes berhampiran kediaman rasmi Perdana Menteri Haiti di Port-au-Prince pada 7 Ogos 2023. - AFP

SYDNEY – Tahap keamanan di 97 buah negara mengalami kemerosotan pada tahun lalu ketika jumlah yang hampir sama kini terlibat dalam pelbagai konflik rentas sempadan, lapor laman berita US News kelmarin.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Institut untuk Ekonomi dan Keamanan (IEP) yang berpangkalan di Australia, sebanyak 65 negara dalam masa sama mengalami peningkatan tahap keamanan pada tahun lalu. 

Hasil kajian badan pemikir itu turut menunjukkan bahawa jurang antara negara paling aman dengan yang paling tidak aman lebih besar berbanding sebelumnya.

“Indeks Keamanan Global Edisi ke-18 mendedahkan bahawa dunia berada di satu persimpangan jalan,” kata taklimat mengenai data terkini dalam laporan tersebut.

Katanya, konflik di Gaza dan perang Russia-Ukraine yang berterusan adalah pemacu utama kejatuhan tahap keamanan di peringkat global. Ia menjadikan kadar kematian keseluruhan akibat pertempuran mencecah 162,000 pada tahun lepas. 

Tambah laporan tersebut, keganasan yang berlaku turut menyebabkan 110 juta orang menjadi pelarian atau pelarian dalam negara ekoran pelbagai konflik.

Sebanyak 56 konflik semasa dicatatkan, di mana ia merupakan bilangan paling banyak pernah dikumpulkan oleh institut itu sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dalam pada itu, menurut agensi berita EFE, kesan ekonomi akibat keganasan global mencecah AS$19.1 trilion (RM90.10 trilion) pada 2023, demikian menurut indeks yang sama.

Jelasnya, keganasan menyebabkan peningkatan kerugian ekonomi global sebanyak 0.83 peratus pada tahun lalu berbanding 2022.

“Peningkatan terbesar dalam kesan keganasan ekonomi berlaku di Palestin dan Israel, di mana jumlah kesannya masing-masing meningkat sebanyak 63 peratus dan 40 peratus,” kata laporan itu.

Selain itu, Ukraine, Afghanistan dan Korea Utara menghadapi kos keganasan ekonomi tertinggi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing iaitu 68.6 peratus, 53.2 peratus dan 41.6 peritus, tahun lalu.

“Kesan ekonomi global akibat keganasan adalah bersamaan dengan 13.5 peratus daripada KDNK global atau AS$2,380 (RM11,227) setiap orang,” kata laporan itu. 

Berdasarkan Indeks Keamanan Global 2023, sebilangan negara dinilai sebagai ‘sangat aman’ pada tahun tahun lalu dengan negara-negara diberi skor pada skala 1 hingga 5 untuk setiap daripada 23 petunjuk keamanan. 

Skor yang lebih rendah menunjukkan sesebuah negara itu berada dalam keadaan lebih aman.

Iceland menduduki tempat pertama dalam ranking keamanan dengan skor keseluruhan adalah 1.112 untuk tahun kedua berturut-turut. 

Ini diikuti oleh Ireland, Austria, New Zealand, Singapura, Switzerland, Portugal, Denmark dan Slovenia.

Malaysia menduduki tempat ke-10 sebagai negara paling aman dengan skor 1.427.

Dalam pada itu, Yemen berada di tangga tercorot iaitu ke-163, disebabkan konflik antara kerajaannya dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran. 

Sudan, Sudan Selatan dan Afghanistan berada di atas Yemen, manakala Ukraine, Russia serta Israel turut berada di tangga 10 terbawah. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI