RIYADH – Kerajaan Arab Saudi melancarkan perkhidmatan teksi terbang tanpa pemandu sebagai kemudahan baharu kepada jemaah pada musim haji kali ini, lapor agensi berita Saudi Press semalam.
“Ia merupakan teksi udara pertama di dunia yang dilesenkan oleh pihak berkuasa penerbangan awam,” kata Menteri Pengangkutan dan Khidmat Logistik, Saleh Al-Jasser.
Beliau berkata, perkhidmatan itu disediakan untuk membawa jemaah haji ke kota suci Mekah selain memudahkan pemindahan kecemasan, mengangkut peralatan perubatan dan barangan lain.
Pelancaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kementerian berkenaan untuk membina model pengangkutan tercanggih dan mesra alam menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI).
Perkhidmatan teksi udara juga bertujuan membantu jemaah mengurangkan masa perjalanan di kawasan sesak terutama ketika berlaku kecemasan.
“Hari ini (semalam) menandakan pengaktifan salah satu inisiatif terpenting dalam pelan hala tuju untuk membolehkan mobiliti udara termaju,” kata Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi, Abdulaziz Al-Duailej.
Menurutnya, kemudahan itu juga dapat membantu tugas pengawasan dan pemeriksaan. – AGENSI