PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan (MTPWP) hari ini bersetuju Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Peringkat Wilayah Persekutuan diaktifkan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, jawatan berkenaan akan bersidang dalam masa terdekat.
Jelasnya, pada mesyuarat itu juga turut dibincangkan perkembangan terkini mengenai Projek Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di Wilayah Persekutuan, pelaporan e-Kasih, inisiatif berkenaan penoktahan kemiskinan tegar, serta perkara-perkara berbangkit mengenai pembangunan dan kemajuan Wilayah Persekutuan.
“Mesyuarat ini merupakan satu platform untuk menyelaras dan mengenal pasti inisiatif dan strategi yang bersesuaian membincangkan hal ehwal pembangunan di Wilayah Persekutuan.
“Serta memastikan keputusan-keputusan oleh Majlis Tindakan Pembangunan Negara dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negara dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau pada mesyuarat berkenaan juga telah mencadangkan agar satu bengkel diadakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan bersama ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur.
“Ini bagi meneliti dan memahami kehendak rakyat di Kuala Lumpur menjelang persediaan bagi pembangunan Rolling Plan ke-5 Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), ujarnya.
Dr. Zaliha berharap segala perbincangan dan perancangan dalam mesyuarat itu akan menatijahkan hasil yang baik, sekali gus memanfaatkan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – KOSMO! ONLINE