NEW DELHI – Seorang wanita di perkampungan Agartala, timur laut India, bertindak membunuh anak lelakinya yang berusia sembilan tahun kerana kecewa mangsa mencuri wang simpanannya, lapor akhbar Hubnews kelmarin.
Suspek bernama Suprabha Bal dan bekerja sebagai buruh upahan harian. Dia mengaku menjerut mangsa hingga mati pada Isnin lalu.
Menurut Suprabha, dia amat kecewa dengan sikap anak lelakinya yang kerap mengabaikan pelajaran dan mencuri wang.
“Sikap anak menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan hidup dengan aman. Saya terpaksa mengambil langkah drastik ini,” kata suspek.
Difahamkan suspek membesarkan anak lelakinya seorang diri selepas ditinggalkan oleh suami dan anak perempuannya yang sudah berumahtangga.
Polis berkata, mereka menemukan seutas tali dan sebatang buluh dipercayai digunakan dalam kes pembunuh tersebut.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut. – AGENSI