MARANG – Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) melibatkan kira-kira 1,500 banduan di Terengganu berjaya mencapai matlamatnya apabila hanya lima banduan kembali dimasukkan ke dalam penjara sejak dilaksanakan pada empat tahun lalu.
Pengarah Penjara Terengganu, Hamid Taha berkata, lima banduan itu ditahan pihak berkuasa kerana melakukan pelbagai kesalahan berulang.
Beliau berkata, ia sangat kecil berbanding 1,500 banduan yang telah dilepaskan menerusi program tersebut sejak tahun 2020.
“Antara faktor utama kejayaan tersebut ialah 90 peratus daripada mereka telah mendapat pekerjaan daripada majikan dalam pelbagai sektor.
“Lebih 40 majikan telah bekerjasama dengan kita dalam menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai antaranya dalam sektor ternakan, pembuatan perabot dan bengkel baik pulih kenderaan,” katanya di Penjara Marang di sini semalam.
Beliau ditemui pada majlis pelepasan 118 banduan secara berlesen sempena sambutan Aidiladha.
Hamid berkata, kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan ringan seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah dalam kuantiti kecil.
Beliau berharap semua banduan terbabit dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk mengubah hidup mereka dan tidak lagi mengulangi kesalahan sama selepas ini. – KOSMO! ONLINE