KUALA LUMPUR – Enggan berebut, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz memilih untuk menyerahkan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada bekas isteri Bella Astillah.
Ujar Aliff atau nama sebenarnya Muhamad Aliff Aziz, 33, dia berbuat demikian kerana menganggap Bella lebih berhak memandangkan dia merupakan ibu kandung kepada anak-anak mereka.
“Hak penjagaan anak saya beri sepenuhnya kepada Bella sebab dia adalah ibu kandung kepada anak-anak kami.
“Kami akan berbaik sahaja demi kepentingan anak-anak kami, insya-Allah.
“Saya enggan mengulas perkara itu secara terperinci tetapi apa yang dibincangkan dalam mahkamah ini, itulah keputusannya,” katanya kepada Kosmo Online sejurus selesai kes perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Disoal mengenai perkembangan kerjaya selepas ini, pelantun lagu Sayang Sayang itu berpasak teguh kepada rezeki Allah dan bermuhasabah diri.
“Saya dalam fasa untuk berehat sebentar (kerjaya seni) terutama untuk kesihatan mental.
“Hari ini merupakan hari yang hectic (memenatkan) bagi saya.
“Berkenaan rezeki, saya percaya segalanya ada di tangan Allah, saya kini lebih kepada muhasabah diri,” ujarnya tenang.
Terdahulu, kemelut rumah tangga Aliff dan Bella akhirnya menemui titik noktah apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Kuala Lumpur hari ini.
Imbas kembali, Bella memfailkan perceraian terhadap Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada 11 Mac lalu.
Untuk rekod, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna. – KOSMO! ONLINE