AVEIRO – Prestasi kapten Portugal, Cristiano Ronaldo masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan selepas berjaya meledak dua gol ketika membantu pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Ireland pada aksi persahabatan awal pagi semalam.
Pengendali Portugal, Roberto Martinez memuji sumbangan dimainkan Ronaldo yang disifatkan sebagai individu luar biasa.
“Komitmennya sebagai kapten nyata sukar dipercayai. Dalam perlawanan ini kita dapat lihat dua gol berkelas dunia dan saya begitu gembira dengan hasil kerjanya.
“Dia menjaringkan dua gol, tetapi pilihan utamanya dalam pasukan adalah membantu rakan sepasukan. Itu menunjukkan kekuatan yang ada dalam pasukan ini sebelum memulakan saingan di Euro 2024,” katanya.
Ronaldo yang meraih kap ke-207 bersama Portugal meledak dua gol dalam tempoh 10 minit untuk melengkapkan kemenangan Portugal selepas jaringan pembukaan berjaya dihasilkan oleh Joao Felix.
Terdahulu, Ronaldo yang kembali mengisi tempat dalam kesebelasan utamanya mengakui peminat di negara itu masih mengharapkan sesuatu yang lebih baik mampu dipamerkan oleh skuad A Selecao.
“Orang mengharapkan sesuatu yang lebih lagi daripada pasukan ini dan dengan bakat yang dimiliki, mereka sentiasa mahu Portugal menang. Walaupun perlu merendah diri, kami juga perlu memiliki mentaliti untuk memenangi Euro 2024.
“Tiada yang lebih baik berbanding bermain untuk pasukan kebangsaan. Rasa bangga menyarung jersi negara kekal sama seperti kami menang kejohanan ini pada 2004,” kata Ronaldo. – AGENSI