fbpx

Derita pesakit kepala besar lumpuh selepas jatuh katil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIPAH (kiri) menjaga Norazizah yang terlantar akibat penyakit sawan, lumpuh dan berkepala besar sejak dilahirkan di Kampung Kota, Kota Bharu baru-baru ini. – ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seorang warga emas tabah menjaga anak gadisnya berusia 30 tahun yang menghidap penyakit sawan dan berkepala besar sejak dilahirkan meskipun dia sendiri mengalami masalah kesihatan emosi.

Sharipah Mohd. Nor, 65, tidak pernah berenggang dengan anak bongsu daripada tiga beradik, Norazizah Mohd. Naim, 30, yang kini lumpuh dan hanya mampu terlantar di rumah wakaf yang menjadi tempat mereka ber­teduh di Kampung Kota, di sini, selepas kematian suaminya 20 tahun lalu.

Menurut Sharipah, anaknya itu hidup dengan berkepala besar dan sawan sejak dilahirkan sehingga memerlukan pemantauan rapi oleh ahli keluarga.

Katanya, keadaan kesihatan anaknya itu semakin bertambah teruk selepas terjatuh dari katil semasa diserang sawan kira-kira 10 tahun lalu.

“Meskipun terlantar, badannya masih boleh bergerak sebelum ini. Selepas terjatuh katil, Norazizah kini sudah tidak mampu bergerak dan memerlukan pemantauan yang rapi daripada saya.

“Sejak itu, saya memang tidak berenggang dengannya dan sentiasa menjaga segala keperluan Norazizah walaupun kami hidup dalam serba kekurangan,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kota, di sini baru-baru ini.

Ujarnya, dua orang anak pe­rempuan saya iaitu kakak kepada Norazizah juga sering datang ke rumah untuk membantu adik mereka, tetapi saya paling ba­nyak masa bersamanya.

“Selain bantuan penduduk kampung, saya dan Norazizah hanya bergantung kepada ban­tuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk membeli kelengkapan rumah selain lampin dan susu untuknya,” ujarnya.

Sharipah berkata, dia sentiasa berjimat-cermat menggunakan wang tersebut kerana bimbang tiada sumber lain yang dapat membantunya ketika kecemasan.

Menurutnya, dia kadangkala terpaksa memberi Norazizah makan nasi jika susunya habis sebelum menunggu bantuan JKM masuk atau pertolongan daripada anak-anak atau penduduk kampung.

Orang ramai bersimpati dan ingin membantu boleh menghubungi salah seorang anak kepada Sharipah di talian 014-640 3305 atau terus ke akaun Public Bank 6822532918 atas nama Che Nabiah Mohd. Naim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI