fbpx

Bapa guru bahasa Arab maut reda tak sempat lihat anak naik pelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakaria (kanan) dan isterinya, Rohayu Ibrahim menunjukkan gambar konvekesyen Nur Ain Fitriah selepas menamatkan pengajian di Mesir kira-kira setahun lalu. Foto oleh TOREK SULONG/ KOSMO!

BACHOK – Bapa kepada seorang guru bahasa Arab yang maut dalam keadaan tragis semasa kemalangan di Kampung Kubang Telaga, di sini pada Ahad lalu tetap reda meskipun tidak sempat melihat anaknya melangsungkan perkahwinan pada bulan Januari tahun depan.

Zakaria Mat, 54, berkata, segala persiapan majlis perkahwinan anaknya, Nur Ain Fitriah,25, termasuk peralatan sudah ditempah.

Menurutnya, mengikut perancangan, anaknya itu bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya dari Jerteh, Terengganu pada Januari tahun depan.

“Segala persiapan sudah dibuat termasuk bayaran deposit untuk pakaian pengantin dan pelamin.

“Saya juga membeli seekor kerbau untuk majlis kenduri kesyukuran bagi menjemput penduduk kampung dan kenalan bagi memeriahkan majlis perkahwinannya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menerima kunjungan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga di sini, hari ini.

Zakaria berkata, dia tetap reda dengan pemergian arwah, namun sedikit terkilan kerana baru setahun bersama anaknya yang pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di Mesir.

Menurutnya, arwah baru bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Hidayah, Kampung Chap di sini sejak tiga bulan lalu.

“Semasa kejadian, arwah baru pulang dari sekolah selepas tamat melatih pelajarnya yang akan menyertai pertandingan bahasa Arab.

“Arwah paling rapat dengan saya. Dengan segala dugaan yang berlaku, saya tetap reda dengan pemergian Nur Ain Fitriah kerana ini merupakan ketentuan Ilahi,” katanya

Sementara itu, Nora berkata, manfaat pencen bulanan sepanjang hayat Perkeso di bawah Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM1,040 itu diagihkan sama rata kepada kedua ibu bapa arwah dan dua adiknya sehingga berusia 21 tahun.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang guru bahasa Arab maut dalam keadaan tragis selepas kereta yang dia pandu terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Kubang Telaga, di sini pada Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI