fbpx

250,000 penduduk bakal terima manfaat projek pembentungan di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah

PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan melaksanakan projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di Pulau Pinang bagi mengelak limpahan LRK sedia ada.

Projek berkenaan meliputi LRK Serantau, Mak Mandin dan pembinaan rangkaian paip pembentungan dalam kawasan tadahan Butterworth North, Pulau Pinang.

Petra dalam kenyataan memaklumkan, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 penduduk dengan penyediaan perkhidmatan pembetungan berpusat untuk komuniti kawasan tadahan Seberang Perai Utara sehingga tahun 2050.

Jelasnya, LRK sedia ada (kolam oksidasi) dengan kapasiti 62,286 PE (Population Equivalent) tidak dapat menampung LRK semasa yang berjumlah 135,646 PE, iaitu lebihan sebanyak 214 peratus.

“Menaik taraf LRK diperlukan untuk mengelakkan limpahan kumbahan tidak terawat dan mengurangkan aduan penduduk setempat.

“Projek ini akan memastikan kualiti efluen air kumbahan memenuhi Standard A Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009, serta menutup 62 loji rawatan kumbahan kecil yang tidak efisyen dan menggantinya dengan satu sistem loji rawatan kumbahan berpusat,” katanya hari ini.

Selain itu, Petra turut melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 di Daerah Segamat, Johor dan RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1 di Bandar Kota Tinggi Johor.

Ini termasuk projek Kolam Takungan Dwi-Fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sg. Klang.

Petra berkata, projek pembangunan RTB ini perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di lembangan sungai berkaitan di samping menjamin keselamatan dan mengurangkan kerugian kerosakan harta benda kepada penduduk serta infrastruktur awam.

“Perubahan iklim yang berlaku kini menyebabkan gelombang banjir besar yang melanda menjadi sejarah, hampir melumpuhkan bandar-bandar yang terlibat kerana sungai tidak mampu menampung aliran hujan yang melimpah.

“Namun, melalui pelaksanaan projek pembangunan ini, dijangkakan lebih dari 30,000 penduduk setempat dapat menikmati peningkatan signifikan dalam kualiti hidup mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Petra berkata, projek ini dianggap sebagai langkah strategik untuk merangsang pembangunan sosioekonomi serta alam sekitar yang lebih terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI